Sport Streaming

Saturday, December 10, 2011

89 Korban Kebakaran Hospital

KOLKATA: Kakitangan sebuah hospital di sini lari meninggalkan pesakit mereka untuk menyelamatkan diri awal pagi semalam apabila bangunan hospital terbakar, menyebabkan 89 orang mati, kebanyakannya akibat lemas.

Ketika pasukan penyelamat berusaha memindahkan mangsa, polis memfailkan kes terhadap hospital di Kolkata, timur India itu kerana tidak mematuhi prosedur keselamatan. Pegawai kanan kerajaan berikrar untuk mendakwa hospital itu bertanggungjawab terhadap tragedi berkenaan dan mula bertindak untuk membatalkan lesennya.


“Ia kesalahan besar dan kami akan mengambil tindakan paling tegas,” kata Mamata Banerjee, Ketua Menteri Benggala Barat di tempat kejadian.

Anggota bomba dengan mengguna tangga, memecahkan tingkap di tingkat atas Hospital AMRI untuk menyelamatkan pesakit yang terperangkap sementara anggota keluarga pesakit menangis di bawah.

Pesakit yang berjaya diselamatkan dibawa dengan pengusung dan kereta tolak ke sebuah hospital berhampiran.

Seorang pesakit, Moon Moon Chakraborty yang berada di hospital itu kerana patah pergelangan kaki menelefon suaminya di rumah untuk memaklumkan mengenai kebakaran itu.

“Dia sudah mati apabila saya tiba di hospital,” kata suaminya, S Chakraborty.

Kejadian itu meragut 89 nyawa, termasuk tiga kakitangan hospital, kata Naib Presiden Kanan Syarikat Hospital AMRI, Satyabrata Upadhyay.

Mangsa lain yang terbunuh ialah pesakit dan anggota keluarga pesakit yang membantu menjaga mereka.

Pegawai penyelamat berkata, kebanyakan mangsa mati akibat tersedut asap.

Ketika kejadian, kira-kira 160 pesakit berada di hospital yang mempunyai 190 katil itu.

Hospital swasta itu yang mengenakan bayaran mahal kepada pesakit diiktiraf sebagai antara hospital terbaik di Kolkata oleh sebuah majalah India baru-baru ini.

Kebakaran bermula di besmen dan asap tebal merebak dengan cepat untuk memenuhi seluruh bangunan hospital.

Punca kebakaran bagaimanapun belum diketahui.

Menurut saksi, kebakaran dan asap itu mula disedari oleh penduduk yang mendiami kawasan setinggan berhampiran hospital. Sebahagian mereka meluru ke hospital itu untuk memaklumkan mengenai kejadian tetapi pengawal keselamatan menghalang mereka masuk dengan berkata, ada kebakaran kecil di bahagian dapur dan tidak ada apa yang hendak dibimbangkan.

Apabila asap menyelubungi keseluruhan bangunan itu, penduduk terbabit menyertai usaha menyelamat.

Pasukan bomba mengambil masa sejam untuk tiba selepas kebakaran bermula, kata saksi, Pradeep Sarkar.

Bapa saudaranya dimasukkan ke hospital itu beberapa jam sebelum kejadian selepas diserang sakit jantung di rumah dan berjaya dipindahkan ke hospital berhampiran.

Jalan raya yang sempit di sekitar hospital itu menyukarkan bomba membawa tangga hidraulik yang diperlukan untuk menyelamat mangsa yang terperangkap di tingkat atas.

Pesakit dan anggota keluarga berkata, kakitangan hospital tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu, malah alat pengesan asap juga tidak berfungsi. - AP

0 comments:

Post a Comment

 

Reuters

Kosmo Online

Utusan Online