Sport Streaming

Saturday, December 10, 2011

Pencerobohan AS dibantah

TEHERAN: Dron Amerika Syarikat yang didakwa ditembak jatuh oleh Iran, menceroboh sejauh 250 kilometer ke dalam ruang angkasa republik Islam itu.

Dalam sepucuk surat bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pihak berkuasa Iran berkata, ‘pesawat pengintip RQ-170 milik Amerika Syarikat menceroboh sejauh 250 kilometer ke dalam ruang angkasa Iran sebelum berdepan dengan reaksi tentera Iran,’ lapor laman web televisyen negara itu.


“Tindakan provokasi dan sulit kerajaan Amerika terhadap Iran semakin meningkat sejak beberapa bulan lalu,” menurut rangkaian televisyen itu.

Ia juga berkata, Teheran mengemukakan bantahan keras terhadap pencabulan undang-undang antarabangsa yang diketuai Amerika Syarikat dan memberi amaran untuk bertindak keras sekiranya ia berulang.

Dalam surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung PBB dan Presiden Majlis Keselamatan serta Perhimpunan Agung, Iran mendesak badan dunia itu mengutuk pencabulan berkenaan.

Televisyen Iran semalam menyiarkan rakaman yang menunjukkan dron yang ditawannya. Jabatan Pertahanan Amerika berkata, pakarnya melakukan penelitian terhadap rakaman berkenaan.

Ia menunjukkan pesawat berwarna krim diperiksa dua pegawai tinggi Pengawal Revolusi Iran, pasukan yang bertanggungjawab terhadap pertahanan udara negara itu.

Ketua Unit Angkasa Lepas Iran, Brigadier Jeneral Amir-Ali Hajizadeh berkata, dron berkenaan ditawan menerusi serangan siber.

“Ia jatuh ke dalam perangkap Unit Perang Elektronik kami yang kemudian berjaya mendaratkannya dengan mengalami kerosakan kecil,” katanya.

Seorang anggota Parlimen kanan, Mohammad Kossari memberi amaran tegas bahawa Iran akan bertindak balas sekiranya pencabulan seumpama itu berulang.

“Iran akan menyerang semua pangkalan tentera Amerika Syarikat di seluruh dunia. “Tindak balas itu akan menggerunkan,” kata Timbalan Ketua Suruhanjaya Parlimen mengenai Hal Ehwal Luar Negara, Mohammad Kossari.

Dron RQ-170 Sentinel ialah pesawat mengintip yang boleh terbang tinggi dan ia direka dan dikeluarkan oleh syarikat Lockheed Martin. Kewujudannya didedahkan pada 2009 sebelum iadisahkan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat pada 2010. - AFP

0 comments:

Post a Comment

 

Reuters

Kosmo Online

Utusan Online