Sport Streaming

Monday, October 10, 2011

Debaran Gergasi Pantai Timur

PERMUSUHAN antara Terengganu dan Kelantan yang dicipta di Bukit Jalil pada Jun lalu kini sampai ke kemuncak apabila dua gergasi Pantai Timur itu bertembung sesama sendiri pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia 2011 malam ini.

Bagi Terengganu, rekod cemerlang menumbangkan ego skuad The Red Warriors pada aksi final Piala FA lalu menjadi bukti nyata mengapa mereka perlu diberi perhatian.

ABDUL MANAF (kanan) akan mengemudi jentera serangan Terengganu pada pertemuan menentang Kelantan malam ini.

Namun, tanpa memperkecilkan kemampuan Kelantan, jurulatih Terengganu Irfan Bakti awal-awal lagi bersuara bahawa pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini adalah pertemuan antara dua juara dan merupakan ‘final’ sebenar bagi kempen Piala Malaysia musim ini.

“Semua orang memilih Kelantan sebagai pilihan ke separuh akhir tetapi mereka lupa bahawa kami telah menewaskan pasukan itu di final Piala FA lalu.

“Mungkin ia (kemenangan) itu sudah jadi sejarah, namun saya sentiasa percaya akan kemampuan pemain-pemain saya untuk memenangi perlawanan suku akhir ini,” kata Irfan kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Irfan menjelaskan kekuatan sebenar pasukannya terletak kepada semangat berpasukan sambil mengharapkan sentuhan berbisa daripada beberapa pemain berpengalaman.

Justeru, katanya, semua pemain diharapkan dapat fokus sepanjang 90 minit permainan dan menggunakan segala kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

“Pastinya saya akan turunkan barisan terbaik malam esok (malam ini) termasuk Joseph Kalang yang baru sahaja pulang dari beraksi di Australia tempoh hari.

“Kehadiran Abdul Hadi Yahya dan Abdul Manaf Mamat di bahagian serangan juga diharap mampu menghadirkan jaringan buat pasukan dalam misi mendapatkan bekalan selesa sebelum aksi di Kota Bharu,” katanya.

Tambah Irfan lagi, pengalaman beraksi menentang Kelantan dalam kempen Liga Super dan final Piala FA lalu memberi lebih banyak idea kepadanya untuk mengekang asakan juara bertahan itu.

Namun, katanya, kelibat Norshahrul Idlan Talaha perlu sentiasa diawasi selain menyekat Badri Radzi daripada menguasai sepenuhnya barisan tengah.

“Kelantan memiliki barisan pemain seimbang dan mereka cukup pantas apabila melakukan serangan.

“Namun, saya tidak perlu risau kerana pemain tahu apa yang perlu mereka lakukan untuk menyekat kemaraan Kelantan. Kami telah bekerja keras sepanjang musim ini dan kami tidak akan berhenti untuk mara lebih jauh,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Reuters

Kosmo Online

Utusan Online