PETALING JAYA: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mendakwa musuh PAS sedang memainkan pelbagai isu untuk memecah belahkan perpaduan parti itu.
Pengerusinya, Hu Pang Chaw berkata, ini termasuk dakwaan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa memberi wang RM350, 000 kepada bekas pengarah komunikasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Syed Azidi Syed Aziz yang lebih dikenali sebagai Kickdefella,
Beliau berkata, orang Kelantan tidak percaya Husam memberi wang sebanyak itu kepada Kickdefella.
“Apa guna beri RM350, 000 untuk dapat undi perwakilan sebanyak 1,050 orang untuk menang jawatan Naib Presiden PAS.
“Buat apa Husam nak buang duit sebanyak itu. Bila ada pilihan raya, ada isu itu, ada isu ini,” katanya ketika ditemui di Muktamar PAS di Taman Melewar, Gombak baru-baru ini.
Muktamar PAS diadakan dari 3 hingga 5 Jun lalu.
Bantu kempen
Kickdefella, seorang blogger mendakwa Husam memberi RM350, 000 bagi membantunya berkempen memenangi jawatan Naib Presiden PAS.
Husam menang jawatan tersebut bersaam Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.
Husam menafikan beliau berbuat demikian dan ses itu sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hu berkata, beliau lebih mengenali secara dekat Husam dan mendakwa mereka berdua pernah melawat China atas urusan menarik pelaburan ke Kelantan.
“Saya tidak percaya jika ada orang berkata, mereka bertemu di China. Saya tahu kerana ikut Husam melawat China,” tegasnya.
Beliau menambah,”Ini semua politik muktamar, lagi popular seseorang individu, lagi banyak isu yang mereka hadapi.”
“Tetapi saya ingin jelaskan tiada ada politik wang dalam PAS.”
DHPP ditubuhkan pada 11 September 2007 selaras dengan motto PAS untuk semua.
Free Malaysia Today