KOTA BHARU: Menjelang perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dengan Terengganu Sabtu ini, ada pesanan buat pemain Kelantan yang barangkali mampu menambahkan semangat mereka apabila artis jelita dari Pasir Mas, Kelantan yang semakin popular, Noor Neelofa Mohd Nor, 22, mahu pemain Kelantan melangkah ke padang dengan penuh keyakinan piala berkenaan akan dibawa pula ke negeri Serambi Makkah.
Noor Neelofa atau popular dengan panggilan Lofa, 22, berkata jika kebiasaannya sesebuah pasukan itu dinasihati supaya jangan terlalu yakin, tetapi dia berpendapat sebaliknya.
“Kadang kala sikap terlalu yakin itu bagus untuk meraih kemenangan. Begitu yang saya harapkan kepada pemain Kelantan.
“Selain yakin, semangat perlu terus membara dan semoga Kelantan meraih kejayaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurut model, pelakon dan pengacara berdarah campuran Melayu-Arab itu, Kelantan mempunyai peluang cerah untuk menundukkan Terengganu berdasarkan aksi cemerlang dipamer Kelantan sebelum ini, terutama ketika menundukkan Terengganu 3-0, Isnin lalu.
Hmetro