Sport Streaming

Wednesday, June 15, 2011

Bersih 2.0: 2 Sahabat Lama Bertembung


KUALA LUMPUR – Jika diizinkan Allah, pada 9 Julai nanti kita akan menyaksikan pertembungan dua sahabat lama di antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

Anwar sudah pun menyatakan bahawa beliau akan turun padang pada tarikh tersebut bagi memberi sokongan kepada perhimpunan Bersih 2.0.

Sementara Ibrahim pula akan tampil bersama para penyokong bantahan terhadap perhimpunan tersebut.


Pastinya pertembungan dua sahabat lama ini sangat menarik untuk disaksikan oleh rakyat Malaysia, khususnya penyokong kuat masing-masing.

Menurut Ibrahim, beliau mengenali Anwar sejak mereka sama-sama aktif di dalam pelbagai persatuan pelajar sekitar tahun 70-an.

Ketika itu, beliau sangat aktif sebagai ketua kesatuan pelajar Islam di Kelantan dan begitu kagum dengan penampilan Anwar sebagai pemimpin yang pintar berpidato.

Kata Ibrahim atau panggilan mesranya, Tok Him, beliau dan Anwar pernah sama-sama berganding bahu semasa demonstrasi Baling.

Mereka juga bersama-sama mengetuai kumpulan mahasiswa berarak serta berdemonstrasi dari Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara, UiTM) menuju ke Parlimen.

Malah katanya, beliau dan Anwar pernah sama-sama ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), disumbat ke kem tahanan di Kamunting serta tinggal sebilik dengan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut selama dua tahun.

Beliau pernah membayangkan kepada mynewshub.my bahawa keakrabannya bersama Anwar seolah-olah mereka punya pertalian darah dan menganggap diri mereka sebagai adik beradik!

Begitulah keakraban Ibrahim dan Anwar suatu ketika masa muda mereka.

Namun kali ini, kedua sahabat itu akan kembali betempur dalam satu demonstrasi yang besar dan berkemungkinan besar akan menyaksikan pertempuran.

Seorang dipihak pro-Bersih 2.0, manakala seorang lagi di pihak anti-Bersih 2.0. Pasti hangat untuk disaksikan.

Sehingga kini, kedua-dua belah pihak enggan mengalah untuk berundur dari menghadirkan diri di ‘medan pertempuran’ itu pada 9 Julai nanti.

Ibrahim pernah merayu kepada penganjur perhimpunan tersebut untuk membatalkan rancangan provokasi mereka, namun tidak diendahkan.

Justeru beliau dan Perkasa mengambil keputusan untuk berhimpun pada hari yang sama bagi membantah perhimpunan Bersih 2.0 itu.

Manakala Anwar pula sudah menyatakan komitmennya untuk bersama-sama menyertai perhimpunan itu bagi menunjukkan sokongannya kepada agenda pro-pembangkang itu.

Persoalannya, apakah yang bakal terjadi apabila ‘ketua-ketua demonstrasi tahun 70’an’ itu bertembung pada 9 Julai nanti.

Apakah pertembungan dua sahabat lama ini akan menyaksikan pertempuran seperti di zaman muda mereka dulu?

Sama-samalah kita nantikan!

Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN

0 comments:

Post a Comment

 

Reuters

Kosmo Online

Utusan Online