Pakatan Rakyat menyarankan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ,elepaskan jawatan Menteri Kewangan untuk diambil alih oleh orang lain yang lebih layak, sebelum ekonomi negara merudum jatuh.
Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat dalam kenyataannya hari ini memengemukan syor itu kerana menyedari Najib, sejak memegang jawatan tersebut, telah gagal melaksanakan agenda “reformasi” beliau untuk menarik keluar Malaysia dari perangkap berpendapatan terbantut melalui Model Ekonomi Baru.
Kenyataan Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan itu dibuat secara bersama oleh Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Pusat PKR R Sivarasa.
Jawatankuasa Bajet Alternatif memberi gambaran analogi korporat, iaitu seseorang Ketua Pegawai Eksekutif tidak akan memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan.
“Oleh yang demikian, untuk seseorang Perdana Menteri yang turut memegang jawatan Menteri Kewangan adalah sesuatu yang janggal, dan tidak diamalkan di mana-mana negara pun di dunia ini.
“Malah, menyimpang jauh dari prinsip tadbir urus yang cekap dan baik,” kata kenyataan itu.
Justeru, Pakatan Rakyat menyarankan supaya Najib menerima nasihat yang beliau sendiri berikan kepada Tun Abdullah Badawi pada 17 September 2008 supaya Perdana Menteri menyerahkan portfolio Kementerian Kewangan kepadanya (Najib).
“Sekarang, Najib kerap kali berdolak-dalik dalam membuat keputusan yang akhirnya mengakibatkan kerugian berpuluh-puluh juta ringgit,” kata kenyataan bersama itu yang memberi contoh kegagalan dasar penggunaan teknologi nano untuk melabel minyak serta cukai perhidmatan 6 peratus untuk telefon prabayar.
Tambah kenyataan itu, ketidakseimbangan ekonomi juga semakin meruncing disebabkan tahap gaji pekerja yang tidak meningkat dan juga kerana kadar inflasi yang semakin tinggi.
Dalam masa sama, Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan akan setia memberi jaminan menghormati dan mengangkat martabat kesemua negeri di dalam Persekutuan Malaysia jika memegang tampuk kuasa persekutuan pada pilihan raya akan datang.
“Sebagai salah satu contoh, Pakatan akan menjamin royalti petroleum sebanyak 20 peratus kepada kerajaan negeri dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan rakyat,” kata kenyataan itu.
Selain itu, Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan juga menempelak langkah kerajaan Barisan Nasional yang terlalu lambat untuk mengiktiraf 16 Septembr sebagai Hari Malaysia, iaitu selepas 46 tahun persekutuan Malaysia ditubuhkan.
Itu pun setelah desakan dibuat oleh majoriti rakyat Malaysia, dan bukan inisiatif kerajaan BN.
“Jelas sekali ini adalah kerana tekanan bertalu-talu dari berbagai kalangan rakyat Malaysia sendiri sesudah PRU 2008,” kata kenyataan itu, mencerminkan kuasa rakyat yang mahu kerajaan bertindak adil mengikut keperluan rakyat. – Roketkini.
0 comments:
Post a Comment