Banyak pihak, terutama lidah rasmi UMNO Utusan Malaysia dan blogger upahan UMNO, mengecam Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Kota Alam Shah M. Manoharan berkaitan kenyataannya di laman Facebook beliau tentang Jalur Gemilang.
Ungkapan saudara Manoharan itu tidak menggunakan kata-kata caci maki atau nista. Sebaliknya ia sekadar penyataan peribadi yang jujur dari beliau, selari dengan prinsip kebebasan memberi pandangan.
Namun, sebagai manusia, ia adalah pandangan peribadi beliau. Kenyataannya tentang Jalur Gemilang, bukan pandangan rasmi DAP mahu pun Pakatan Rakyat.
Malah, Manoharan sendiri sebagai seorang rakyat Malaysia yang patriotik telah memohon maaf atas pandangannya yang telah menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan rakyat.
Maka atas prinsip itu, kenyataan beliau hanya layak dinilai secara peribadi dan tidak perlu dikaitkan dengan dasar dan cita-cita politik DAP serta Pakatan Rakyat.
Namun nasihat ini hanya seperti mencurah air ke daun keladi, terutamanya kepada UMNO dan konco-konconya. Budaya politik mereka tidak mengizinkan ianya berlaku sebegitu.
Manipulasi kebenaran budaya UMNO-BN
Para politikus Barisan Nasional amat suka memanipulasi fakta hingga kefahaman tentang prinsip asas kebebasan bersuara itu hilang. Dan kita faham mengapa mereka berbuat begitu – kerana kehadiran mereka semakin tidak relevan dalam arena politik negara.
Dan, kita menerima kedangkalan budaya politik UMNO BN ini dengan hati terbuka.
Di sebalik semua ini, realiti sebenar yang harus kita hayati, sedari dan fokus adalah perkara-perkara asas dan soal prinsip tadbir urus negara yang lebih baik.
Bak kata Anwar Ibrahim tempoh hari, isu video seks yang terbaru (sekali lagi) hanya untuk mengalih pandangan masyarakat kepada isu-isu dasar yang lebih penting.
Hakikatnya, bukan soal hendak tukar bendera apa atau buat lagu kebangsaan yang baru. Benar, perkara itu memang ada rasional untuk diselidik dan dikaji semula dan ia memang isu yang bersifat populis, tetapi ia bukan perkara pokok.
Kebebasan maklumat dan prinsip membuka ruang awam dalam aspek perdebatan baik isu sejarah dan dasar-dasar yang melibatkan aspek perundangan harus diberi ruang untuk dibicarakan secara adil dan terbuka.
Kebebasan berbincang, berani berpendapat
Prinsip inilah yang akan meleraikan sedikit demi sedikit apa jua kekusutan yang sedang menjadi dilema dalam benak masyarakat Malaysia.
Bayangkanlah jika isu Mat Indera, sama ada panglima komunis atau pejuang anti-penjajah, boleh dibahaskan secara terbuka dan adil, baik di peringkat awam mahu pun di kalangan pakar-pakar sejarahwan kita, pasti isu label-melabel seseorang dengan unsur-unsur penghinaan akan tercabut dari minda kita. Dan keadilan kepada siapa jua akan dapat diberi.
Bayangkan pula jika isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sebelum ini begitu sensitif, jika diberi ruang wacana awam untuk dinilai dan dibahas secara adil tentang buruk baiknya undang-undang itu, pasti masyarakat akan lebih sedar tentang hak-hak mereka dan institusi perundangan kita akan lebih dihormati lagi.
Begitu juga dengan kes-kes mahkamah yang melibatkan wang kerajaan (wang rakyat), nyawa seseorang termasuk penjawat awam, rakyat berhak menyoal, menilai dan memberi pandangan secara peribadi atau kolektif tentang perkara itu.
Dalam aspek ini, bukankah molek jika kerajaan sudi menerima kepelbagaian pandangan ini sebagai salah satu amalan budaya demokrasi yang matang. Tak perlu melenting dan marah jika kita dikritik atau berbeza pandangan dengan pihak awam.
Begitu juga dengan pembentangan Bajet dan pelaksanaan Rancangan Malaysia dalam aspek pembangunan dan ekonomi. Penyertaan rakyat tidak boleh diketepikan, kerana kerajaan hanya bertindak sebagai pembentang dan pelaksana, jurinya adalah rakyat kerana modal dan faedah perlaksanaan sesuatu projek itu akhirnya akan dinikmati dan ditanggung oleh rakyat.
Tanpa keterbukaan dalam prinsip menyuarakan pandangan, baik secara peribadi mahu pun secara kolektif, maka budaya politik kita tidak akan berkembang.
Penyertaan masyarakat seperti inilah yang dikatakan sebagai ruang sosial dalam sistem demokrasi. Ia menjadi agenda bagaimana demokrasi dilaksanakan di Malaysia. Inilah perjuangan nombor wahid kita pada ketika ini.
Isu pokok, isu ranting
Begitu juga dengan aspek-aspek yang bersifat ranting seperti isu Jalur Gemilang dan isu lagu Mamula Moon atau Terang Bulan. Kesemua ini memerlukan pandangan ramai oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia.
Bukankah yang akan paling berbangga dengan bendera dan nyanyian lagu kebangsaan mereka adalah rakyat sendiri?
Untuk memahami dan melaksanakan segala agenda negara, siapa jua yang sedang atau akan menjadi kerajaan harus akur bahawa tanpa perubahan budaya politik, maka amat sukar kita ingin mereformasikan sistem ekonomi, perundangan dan sistem sosial kita.
Contohnya, satu hari kelak, jika semua ahli DAP atau PAS atau PKR ingin menukar logo parti masing-masing, ia pasti akan bertukar jua mengikut kehendak majoriti, itulah bukti kita mengamalkan demokrasi. Demokrasi menjadikan kita lebih matang dan berani.
Siapa jua kerajaan, mereka harus yakin dan percaya kepada kebolehan rakyatnya untuk memahami peranan dan fungsi mereka sebagai warga yang merdeka. – Roketkini.
0 comments:
Post a Comment