KOTA BHARU – Dua lelaki yang memiliki senjata api ditahan dalam serbuan polis ke atas sebuah bengkel kereta di Sungai Sam, Kuala Krai di sini Sabtu lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 9.30 malam itu, polis menemui sepucuk pistol revolver .38 SPL dan 38 butir peluru serta satu kelongsong peluru dipercayai milik kedua-dua suspek.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yomg Heng berkata, kedua-dua suspek yang merupakan rakyat tempatan itu kini direman sehingga 18 Jun ini untuk membantu siasatan.
“Kita sebelum ini menerima maklumat mengenai kegiatan mereka dan melakukan serbuan yang membawa kepada penemuan senjata api tersebut.
“Kedua-dua suspek merupakan majikan dan pekerja dan siasatan awal mendapati senjata api itu dibuat di Filipina.
“Bagaimanapun motif mereka memilikinya masih disiasat,” jelasnya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Mereka kini, kata beliau, disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(A), Akta Senjata Api 1960.
“Mereka juga masing-masing mempunyai dua rekod jenayah lampau yang dilakukan di negeri ini iaitu membabitkan kes dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan motor,” jelasnya.
mynewshub
0 comments:
Post a Comment