PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini mengisytiharkan Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang melarang mahasiswa menyatakan sokongan atau bangkangan dalam aktiviti politik sebagai tidak sah di sisi undang-undang.
Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Wra Low Hop Bing memutuskan seksyen tersebut dalam AUKU itu tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.
Hakim Datuk Mohd. Hishamuddin Mohd. Yunus dan Datuk Linton Albert membenarkan rayuan empat penuntut jurusan sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menghadapi tindakan disiplin kerana didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Hulu Selangor pada 24 April tahun lepas.
Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adza dalam saman pemula mendakwa, mereka menerima notis dari UKM untuk menghadiri Lembaga Disiplin UKM bagi menjawab tuduhan melanggar Seksyen 15(5)(a) Akta AUKU.
Bagaimanapun, mereka didapati tidak bersalah oleh lembaga itu. Kesemua mereka itu telah menamatkan pengajian masing-masing bulan lepas.
Hakim Hop Bing menentang dengan menyatakan larangan itu perlu bagi mengelak ideologi politik meresap di kalangan penuntut yang mudah terdedah, tertakluk kepada tekanan rakan sebaya dan mudah terpengaruh yang akan menjejaskan peranan utama universiti dalam menyediakan pendidikan.
Hakim Hishamuddin dalam penghakiman 21 muka surat berkata, Seksyen 15(5)(a) adalah tidak rasional kerana ia menghalang pembangunan pemikiran asli dan kritis penuntut yang menjadi objektif institusi pengajian tinggi berusaha untuk mencapainya.
Katanya, universiti seharusnya menjadi tapak semaian ahli reformis dan pemikir dan bukan institusi untuk melahirkan penuntut ibarat robot.
Jelas sekali, katanya, peruntukan itu bukan sahaja tidak produktif malah menindas.
Selain itu, katanya, kebebasan bersuara merupakan salah satu hak asasi utama yang dinikmati oleh seseorang individu dan hak itu turut diiktiraf dalam pelbagai dokumen hak asasi manusia seperti Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik.
Hishamuddin berkata, ia adalah asas kepada pewujudan demokrasi dan menghormati nilai diri seseorang dan kebebasan bersuara diberi status terunggul dalam perlembagaan kebanyakan negara.
Panel itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 September tahun lepas yang membatalkan saman pemula penuntut berkenaan terhadap kerajaan, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM dengan mencabar tindakan universiti berkenaan mengambil tindakan disiplin. - Bernama
0 comments:
Post a Comment