BESUT- Seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut selepas disengat tebuan ketika membonceng motosikal bersama ibu dan adiknya di Kampung Pangkalan Nyireh, dekat Kampung Raja, petang kelmarin.
Menurut ibunya, Rakiah Ismail, 31, ia berlaku jam 1 petang kelmarin semasa pulang dari mengambil mangsa, Tengku Hafizul Hafiq Tengku Anuar, dari Tadika Tanjung Demong kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.
“Allahyarham membonceng di belakang sementara adiknya, Tengku Hamizah duduk di hadapan.
“Sebaik sampai di halaman rumah, tiba-tiba saya terdengar Tengku Hafizul menjerit kesakitan dan apabila menoleh, saya lihat badan anak saya penuh dengan tebuan,” katanya.
Rakiah berkata, dia segera memberhentikan motosikal dan mengarahkan mangsa menyelamatkan diri ke rumah jiran, Zawiah Salleh, 25, manakala dia membantu menutup kepala Tengku Hamizan yang duduk di depan.
“Zawiah berusaha membuang tebuan yang melekat pada badan Tengku Hafizul dan ketika itu dia turut disengat.
“Saya hanya disengat antara tiga dan lima tempat manakala Tengku Hamizan, disengat oleh kira-kira 10 ekor di kepala,” katanya.
Menurut Rakiah, mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Kampung Raja dan kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk diberi rawatan.
Mangsa kemudian meninggal dunia jam 5 petang berikutan kecederaan teruk akibat kira-kira 50 sengatan di seluruh badannya.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Tawar, Tanjung Demong, lebih kurang jam 10 pagi semalam.
0 comments:
Post a Comment