KUALA LUMPUR, 12 Sept — Sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Jingga 13 memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan memorandum berhubung dakwaan gagalnya Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menangani isu sebuah laman web didakwa menghina Islam.
Jingga 13 menyerahkan surat mendapatkan perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.
Jurucakapnya, Fariz Musa berkata, pihkanya mengambil tindakan tersebut kerana kecewa dengan sikap Jamil Khir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator dan Jakim yang tidak mahu bertindak malah menyifatkan isu tersebut bukan dalam bidang kuasa mereka.
“Kami menghantar surat memohon untuk menghadap Tuanku. Kami terpaksa mengambil tindakan ini ekoran sikap Jamil Khir dan Jakim yang tidak mahu bertindak, maka kami rasa wajar perkara ini diketengahkan,” kata beliau sambil mendakwa sehingga kini pihaknya belum mendapat apa-apa jawapan daripada Jakim dan menteri berkaitan.
Katanya, Jingga 13 akan menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara ekoran kegagalan Jamil Khir menyelesaikan masalah itu walaupun laporan yang telah dibuat sebelum ini.
Pada 7 September lalu, Jingga 13 telah menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia tetapi tidak kepada Jakim mengenai individu yang menghina Islam di internet atas alasan ia bukan bidang kuasa agensi itu.
“Jadi kami tiada pilihan melainkan menghadap istana dalam hal ini,” kata beliau yang merancang untuk menyerahkan memorandum pada 24 September ini.
0 comments:
Post a Comment