KUALA LUMPUR: Bermula Isnin ini, persidangan Dewan Rakyat akan dijalankan di bangunan sementara berikutan kerja-kerja baik pulih bangunan Parlimen.
Dewan baru yang terletak di belakang bangunan Parlimen itu yang sebelum ini menyediakan kemudahan riadah kini berubah wajah seperti bangunan utama Parlimen yang bakal menjadi tempat persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz meluangkan masa kira-kira 30 minit semalam untuk meninjau dewan sementara itu.
Shaziman berkata, dewan yang bakal digunakan sehingga bangunan Parlimen siap dibaik pulih itu agak kecil berbanding dewan di bangunan utama Parlimen tetapi memiliki kemudahan sama.
“Kita juga sudah melakukan ujian sistem teknologi maklumat dan beberapa ujian lain. Jadi Isnin ini akan menjadi penentu keberkesanan sistem yang dipasang,” katanya yang ditemui semalam.
Menurutnya, kemudahan lain yang disediakan merangkumi jejambat yang menghubungkan antara bangunan utama Parlimen dengan bangunan sementara selain mesra orang kurang upaya (OKU).
Mengenai proses baik pulih bangunan Parlimen, Shaziman berkata, ia mungkin akan bermula awal tahun depan.
“Tender akan dibuka pada Disember ini dan kita jangka kerja baik pulih akan bermula awal tahun depan. Jadi sepanjang tempoh itu, persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan berlangsung di bangunan sementara,” katanya.
0 comments:
Post a Comment