BEIJING, 14 Julai — Kedutaan Malaysia menasihatkan mana-mana rakyat Malaysia yang pergi ke bandar raya Beijing supaya menghubungi kedutaan berkenaan untuk mendaftarkan nama bagi mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang mereka berada di sana.
Sementara itu, sekumpulan pelajar Malaysia dan China berkongsi senarai tempat wajib dilawati sekiranya seseorang melawat Beijing.
Pelajar Malaysia dan China di Beijing Foreign Studies University sentiasa bersedia membantu pelancong dari Malaysia.
Saya, Nurul Fadzillah, Jasmine Koh dan Izan Ali yang diiringi Tan See Hua berpeluang bertemu mereka semalam iaitu hari kedua kami berada di Beijing atas tajaan One Nusantara Sdn Bhd.
Lim Juay Jin, timbalan duta dan Setiausaha II Beh Ching Chye meluang masa sekitar sejam dalam pertemuan secara tidak rasmi untuk berkongsi pengalaman dan panduan kepada pelajar, peniaga, pelancong dan sesiapa sahaja dari Malaysia yang berkunjung ke Beijing.
Antara perkara pertama yang kami perhatikan adalah bahawa pendingin hawa di dalam bangunan Kedutaan Malaysia tidak dingin seperti di Malaysia.
Juay Jin yang lebih dikenali sebagai JJ menjelaskan bahawa semua pejabat kerajaan dan swasta di China terlibat dalam kempen penjimatan tenaga.
Maka, pendingin hawa ditetapkan pada kedudukan 26 darjah Celsius.
Beliau turut mengakui bahawa kebanyakan pelancong dari Malaysia tidak memaklumkan atau mendaftar bersama kedutaan apabila datang ke Beijing. Hal ini mungkin kerana mereka mahu “bebas” tanpa diawasi atau dipantau sepanjang mereka melancong di sini.
“Sikap mereka mula semakin berubah, khususnya selepas kejadian gempa bumi di Jepun. Kedutaan bukan bertujuan menyekat kebebasan dan program yang diatur oleh pelancong dari Malaysia. Sebaliknya, bagi memudahkan komunikasi sekiranya timbul keadaan tertentu. Misalnya berlaku sebarang malapetaka,” kata beliau dalam pertemuan tidak rasmi itu.
Hubungan antara pelajar Malaysia di Beijing dengan kedutaan pula amat rapat.
Setiap kali ada acara besar, kedutaan akan mengundang mereka, khususnya menerusi Persatuan Pelajar Malaysia di Beijing (AMSIB).
“Tentu sahaja kami di Kedutaan Malaysia di Beijing bersedia memberikan apa-apa bantuan yang perlu kepada rakyat Malaysia yang datang ke sini. Saya nasihatkan supaya pelajar atau pelancong dari Malaysia menghubungi kami menerusi e-mel mwbjing@kln.gov.my sebelum datang atau sepanjang berada di sini,” kata Juay Jin.
Satu lagi nasihat penting yang diberikan adalah supaya rakyat Malaysia tidak terpengaruh untuk dijadikan “keldai dadah” oleh sindiket pengedaran dadah yang beroperasi secara licik.
“Apabila berpeluang berada di Beijing, sama ada sebagai pelajar atau pelancong, gunakan peluang itu untuk memahami jiwa, budaya dan pelbagai keunikan penduduk tempatan. Ada baiknya juga jika mampu menggunakan Bahasa Mandarin secara amat asas untuk membantu komunikasi,” Juay Jin yang amat mesra menasihatkan.
Selepas mengucapkan selamat tinggal, kami berlima menggunakan ‘subway’ untuk ke Beijing Foreign Studies University (BFSU). Ketibaan kami pada pukul 2 petang disambut Indah Han, pensyarah di Pusat Bahasa Melayu.
Turut berada di pusat bahasa berkenaan adalah empat pelajar China yang mengikuti pengajian Bahasa Malaysia dan tiga pelajar Malaysia serta seorang pelajar Singapura dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur yang mengikuti kursus Bahasa Mandarin selama sebulan di BFSU.
Wan Zalina, Nurhamidah, Unaizah dan Kamarulzaman melahirkan rasa seronok kerana berpeluang datang ke Beijing walaupun mereka datang tanpa asas pengetahuan Bahasa Mandarin.
Mengenai soal makanan halal pula, mereka tidak menghadapi masalah kerana ada banyak kedai yang diusahakan peniaga Islam di sekitar Beijing.
Begitu juga dengan pengangkutan awam kerana teksi, bas dan “subway” sangat mudah diakses.
Bagi pelajar China pula, mereka berasa seronok apabila bertemu pelajar dari Malaysia kerana secara langsung berpeluang menggunakan Bahasa Malaysia dalam komunikasi.
Begitu juga apabila bertemu pelancong dari Malaysia, mereka suka menyapa orang Malaysia menggunakan Bahasa Malaysia.
Para pelajar China yang kami temui juga menyatakan kesediaan untuk membantu menjadi “pemandu pelancong” sekiranya diperlukan.
Situasi ini merupakan perkongsian pintar kerana kedua-dua pihak mendapat manfaat.
Pelajar dari Malaysia yang sudah beberapa tahun berada di Beijing, seperti See Hua, juga bersedia membantu pelancong dari Malaysia yang memerlukan “pemandu pelancong”.
Bagi mereka, ini peluang untuk tampil membantu rakan senegara dan peluang untuk melepaskan rindu menggunakan Bahasa Malaysia serta berkongsi perkembangan di tanah air.
Ternyata ada hubungan rapat antara Kedutaan Malaysia di Beijing dan pelajar Malaysia di bandar raya berkenaan.
Mereka juga sentiasa bersedia menerima kunjungan dan menghulurkan bantuan kepada pelancong dari Malaysia.
Mungkin aspek positif ini akan memberi kelegaan dan keselesaan tambahan kepada orang ramai dari Malaysia yang bercadang untuk ke Beijing, sama ada untuk melanjutkan pengajian atau melancong. Apabila kita sedar bahawa ada “rakan” yang boleh dihubungi apabila perlu di negara asing, pasti kita akan berasa lebih selamat.
Perkara ini memang dialami sendiri oleh saya, Izan, Fadzillah dan Jasmine.
Kami datang ke Beijing tanpa maklumat mendalam mengenai bandar raya ini. Namun, kami tidak risau kerana ada ‘rakan-rakan’ yang boleh diharapkan untuk membantu kami.
0 comments:
Post a Comment