Sport Streaming

Saturday, July 2, 2011

Merangkak Naik Bukit

KOTA TINGGI: “Saya sedang tidur apabila bas tiba-tiba terbalik dan dalam masa sama, semua penumpang menjerit. Ketika itu, pelbagai gambaran ngeri bermain di fikiran,” kata Siti Maisura Ismail, 20, di sini, semalam.

Maisura yang juga seorang daripada 21 penumpang bas ekspres dari Kuala Terengganu, Terengganu menuju ke Terminal Pengangkutan Awam Larkin di sini, terselamat apabila kenderaan berkenaan terbalik di lereng bukit di Kilometer 47.5, Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, kira-kira jam 6.15 pagi.

Gambar hiasan

Menurut pelajar semester lima, Politeknik Kuala Terengganu dalam bidang Teknologi Maklumat itu, dia mengalami calar di muka dan cedera di tangan kiri akibat kejadian.

“Rakan sekolej, Shazwani Salimin yang berusia 20 tahun tercampak keluar tetapi tidak cedera serius dan dia hanya tersedar selepas terbaring di dalam semak.

“Mangsa lain termasuk saya merangkak keluar dari bas sebelum dibantu orang ramai yang melalui jalan berkenaan,” katanya.

Anuar Ibrahim, 24, dari Kuala Terengganu, berkata dia sedar bas itu hilang kawalan sebelum terbalik.

“Bagaimanapun, saya tidak mampu berbuat apa-apa sebaliknya hanya bertawakal kepada Allah.

“Saya keluar melalui tingkap belakang bas dipecahkan. Ketika itu, saya lihat ramai merangkak menaiki bukit dengan bantuan pengguna jalan raya lain,” katanya yang dalam perjalanan ke Pasir Gudang bagi mencari pekerjaan.

Sementara itu, guru pengakap dari Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Hamida, 30-an, berkata, dia mengetuai tujuh pelajar untuk melakukan kerja amal di Setiu, Terengganu selama dua minggu.

“Kami baru selesai menjalankan tugas berkenaan dan tidak sangka terbabit nahas ini. Dua anggota kami hanya mengalami calar,” katanya.

Lapan penumpang bas berkenaan termasuk pemandunya yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) oleh orang ramai.

Semua berada dalam keadaan stabil kecuali pemandu bas yang patah bahu dan terpaksa ditahan di wad.

0 comments:

Post a Comment

 

Reuters

Kosmo Online

Utusan Online