KUANTAN: Seorang warga emas, Mah Radzuan, 84, ditemui dalam keadaan lemah serta tidak mampu berjalan selepas tersesat selama 24 jam di kawasan hutan ladang Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Jaya Gading di Kampung Padang Jaya, di sini, semalam.
Ketika kejadian, mangsa dipercayai mengalami masalah ingatan bersama ahli keluarganya melakukan kerja membersih kebun buah-buahan sebelum dikatakan merayau dan tersesat sejauh kira-kira tiga kilometer.
Gambar hiasan
Menantunya, Zainab Dayan, 58, yang turut sama bersama mangsa ketika kejadian berkata, mereka tidak sedar bila mentuanya itu keluar dari kawasan kebun sambil membawa parang dan tin cat.
Menurutnya, mereka hanya mengetahui mangsa hilang apabila mendapati dia tiada di kawasan kebun berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari, selepas usaha mengesan selama lebih tiga jam gagal dan terus memaklumkan kepada penduduk kampung memulakan operasi mencari mulai jam empat petang kelmarin.
“Kami membuat laporan polis jam enam petang kelmarin dan operasi mencari dilakukan lebih 80 anggota polis, Bomba dan Penyelamat, Rela termasuk penduduk kampung serta dibantu tiga ekor anjing Unit K9 polis yang bergerak secara berkumpulan.
“Saya tidak menolak kemungkinan kejadian ini ada kaitan dengan makhluk halus kerana sebelum kejadian mentua saya murung dan tidak ceria seperti biasa,” katanya yang bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terbabit dalam operasi mencari itu.
Sharif Saal, 53, individu pertama menemui mangsa, berkata jarak mangsa ditemui dari kebun keluarganya ialah kira-kira tiga kilometer iaitu di kawasan hutan berhampiran ladang kelapa sawit.
Menurutnya, ketika ditemui mangsa lemah dan tidak mampu berdiri disebabkan lapar kerana tidak makan dan minum selama 24 jam.
“Ketika ditemui mangsa terbaring di atas rumput dan lalang dan saya tidak menolak kemungkinan dia tidur di situ malam kelmarin,” katanya.
“Saya tidak menyangka mangsa mampu berjalan begitu jauh kerana keadaan fizikalnya yang lemah,” katanya yang membawa mangsa keluar dari tempat dia ditemui menggunakan motosikal.
Dia yang bertugas dengan Pasukan Gerak Am (PGA) Kem Bukit Galing, di sini berkata, pengalaman bertugas di kawasan hutan sebelum ini banyak membantunya untuk mengesan mangsa.
0 comments:
Post a Comment