KULIM: “Arwah suka menolong orang termasuk rakan sekerjanya, tetapi saya terkilan dengan sikap majikannya kerana hingga kini masih tidak menjenguk kami sekeluarga mahupun bertanya khabar.”
Begitu kata Shabul Fadilah Ibrahim, 45, isteri arwah Che Husin Che Kob, 49, yang meninggal dunia akibat letupan ketika membantu rakannya melakukan kerja mengimpal paip membaiki tangki tar di sebuah kuari di Bandar Mahkota, Sungai Ular, kelmarin.
Menurutnya, dia terkejut apabila mengetahui kejadian menimpa suaminya selepas dimaklumkan anak sulungnya, Mohd Syafiq, 20, pada sebelah petang.
“Anak saya tidak memberitahu kejadian menimpa arwah segera kerana menyedari masalah kesihatan saya, sebaliknya mengambil sedikit masa untuk memberitahu supaya saya tidak tertekan dengan berita sedih ini.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan hari ini (semalam) genap sebulan bekerja di kuari itu, malah tidak sempat mengambil gaji pertamanya,” katanya ketika menerima kunjungan Ketua Pemuda Umno Bahagian Padang Serai, Asmaidi Abu Talib di rumahnya di Taman Angsana, dekat sini, semalam.
Metro Ahad semalam melaporkan kejadian tiga lelaki cedera manakala seorang maut akibat letupan ketika menjalankan tugas mengimpal di sebuah tangki minyak tar di sebuah kuari di Bandar Mahkota, Sungai Ular, Kuantan, kira-kira jam 11 pagi kelmarin.
0 comments:
Post a Comment