KUANTAN: “Saya lihat lori balak yang dipandu mangsa dihimpit sebuah lori lain sebelum kenderaan berat itu terbabas ke kiri dan terjunam dalam longkang,” kata Azri Mohamed Riduzan, 29, yang menyaksikan kemalangan membabitkan dua lori di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa pemandu lori balak berusia 50-an dan tinggal di Air Putih, di sini, terselamat walaupun parah di beberapa bahagian badan dan kepala.
Mangsa dikeluarkan orang ramai sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dengan bantuan ambulans.
Difahamkan, kemalangan terbabit mengakibatkan balak dibawa mangsa bertaburan di jalan, sekali gus mengundang kesesakan luar biasa sepanjang lebih satu kilometer di kedua-dua laluan.
Menceritakan semula kejadian itu, Azri berkata, dia yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke bandar dari Taman Tas berada di belakang lori balak terbabit.
Menurutnya, ketika menghampiri selekoh yang agak sempit, sebuah lori di laluan kanan menghimpit lori mangsa menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam longkang.
Katanya, selepas melihat kejadian itu, pemandu yang menghimpit lori mangsa berhenti seketika di tepi jalan sebelum melarikan diri.
“Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya melihat lori dipandu mangsa seolah-olah melayang ke kiri jalan dan terjunam dalam longkang manakala balak bertaburan di atas jalan.
“Melihat keadaan cemas, beberapa orang awam membantu mengeluarkan mangsa dan mematikan enjin kerana terdapat tumpahan diesel,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.
Menurutnya, pada masa sama, isteri mangsa dihubungi untuk memaklumkan kemalangan itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata identiti mangsa belum dikenal pasti dan polis meminta orang ramai mempunyai maklumat berhubung lori yang menyebabkan kemalangan itu tampil di Balai Trafik Kuantan untuk membantu siasatan.
“Mangsa menerima rawatan lanjut di HTAA, Kuantan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment