Sport Streaming

Monday, July 11, 2011

Kepala diserkup Sarung Bantal

KOTA BHARU: Seorang peraih emas wanita berusia 26 tahun bukan saja disamun, malah berdepan detik mencemaskan apabila diculik dua lelaki tidak dikenali yang menyerkup kepalanya dengan sarung bantal, dalam kejadian di Tanah Merah, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa sedang berurus niaga dengan kedua-dua suspek berusia 19 tahun yang berpura-pura mahu menjual emas.

gambar hiasan

“Perbincangan menjual emas itu dilakukan dalam kereta suspek. Bagaimanapun, ketika sebut harga dilakukan, mangsa diserkup kepalanya menggunakan sarung bantal dan dilarikan sehingga ke Bukit Panau, dekat sini.

“Semua barang kemas termasuk gelang tangan serta cincin dan telefon bimbit mangsa dicuri. Mujur mangsa tidak dicederakan dan ditinggalkan di tepi jalan dengan kedudukan kira-kira 15 kilometer dari lokasi dia diculik,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurut Abdul Aziz, mangsa membuat laporan polis sejurus selepas kejadian dan turut mengecam nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek.

“Menerusi maklumat mangsa, usaha menjejaki suspek dilakukan dengan bantuan sepasukan polis di sekitar Pasir Mas.

“Suspek ditahan di bandar Pasir Mas kira-kira jam 6 petang keesokan harinya (Jumaat) sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Abdul Aziz berkata, polis menemui sebilah pisau Rambo dan sarung bantal di rumah suspek, sebelum barangan itu dirampas.

“Mereka mengaku menjual barang kemas disamun daripada mangsa kepada dua peraih emas wanita di Pasir Mas. Kami menahan dua peraih emas itu dan tiga wanita lain kerana turut berkongsi wang untuk membeli barangan dijual suspek, kira-kira jam 6 petang, kelmarin (Sabtu).

“Lima wanita berusia 40 hingga 60 tahun itu ditahan untuk mendapatkan perintah tahanan reman kerana membeli barang samun, manakala seorang pemuda turut direman bersama suspek kerana membeli telefon bimbit mangsa,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun berkumpulan menggunakan senjata.

Sementara itu, perintah tahanan reman dilakukan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Rozita Md Saat, untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terhadap semua suspek mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, semalam.

Lima wanita bersama seorang lelaki terbabit diperintah reman empat hari, manakala dua suspek menjadi dalang direman seminggu.

0 comments:

Post a Comment

 

Reuters

Kosmo Online

Utusan Online