FLORIDA: Kartunis Zunar mengajak kartunis-kartunis editorial seluruh dunia supaya terus bangkit menentang ketidakadilan kerana ia merupakan tanggungjawab setiap karyawan.
“Kita mesti bersedia menghadapi sebagai risiko. Kita mesti terus bangun. Kita mesti terus melukis sehingga ke titisan dakwat terakhir. Jika kita berundur, bererti kita mengorbankan prinsip kita menentang kezaliman,” tegas beliau.
Zunar berkata demikian ketika menerima anugerah “2011 Award in Editorial Cartooning” oleh Cartoonist Rights Network International (CRNI) St Petersburg, Florida, 7 Julai lalu.
Anugerah ini disampai oleh Presiden CRNI), Joel Pett dalam sebuah majlis sederhana di sebuah hotel. Zunar atau nama sebenanya Zulkiflee Anwar Haq turut diberi penghormatan berdiri oleh 75 kartunis yang hadir pada malam itu.
Mereka termasuk pemenang Anugerah Pulitzer dalam kartun editorial seperti Daryl Cagle, Dick Locher, Clay Bannet, Ben Sergeant, Mark Fiore, Mike Keefe, Ed Stein, Rob Rogers dan juga kartunis dari Timur Tengah dan Asia.
Kartun-kartun Zunar dianggap pengriktik sebagai senjata berkesan melawan korupsi dan salahguna kuasa oleh kerajaan Malaysia.
Sepanjang bekarya, Zunar sentiasa hadapi tekanan, gangguan dan ugutan dari kerajaan. Beliau ditangkap, pejabat beliau selalu diserbu, buku-buku beliau diharam, kilang pencetak dan pekedai diugut supaya tidak mencetak dan menjual buku beliau.
Kartunis kontroversi itu berkata beliau kesal kerana kebanyakan negara Islam mengenakan berbagai tekanan bagi menyekat kebebasan berkarya yang ternyata bertentangan dengan ajaran Islam. Kerajaan sepatutnya menghargai kritikan.
Beliau memetik kata-kata Saidina Ali: “Patriotisma paling tinggi ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.”
Beliau seterusnya mengritik pemerintah Malaysia yang menggunakan undang-undang jenayah bagi menyekat rakyat dari membaca kartun beliau. “Apabila melukis kartun merupakan kesalahan jenayah, petanda penguasa mula goyah”.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong beliau, Zunar berkata anugerah yang diterima ini memberi kekuatan baru kepada beliau, “seperti Popeye mendapat spinach.”
Zunar dipilih untuk menerima anugerah ini selepas melalui proses pencalonan dan pemilihan oleh Ahli-ahli Lembaga Pengarah CRNI.
Menurut mereka, ketabahan dan ketahanan beliau menghadapi tekanan, penggunaan strategi kreatif melalui kartun dan keberanian yang beliau tunjukkan dalam melawan kekuasan pemerintah melayakkan beliau menerima anugerah ini.
Sebelum itu dalam ucapannya, Pengarah CRNI Dr Robert Russell memuji tindakan Zunar dalam menghadapi tekanan dari kerajaan dengan sentiasa melawan kembali.
Pemenang sebelum ini termasuk Nikahank Kowsar, Iran (2001), Paul Nyemb Popoli, Cameroon (2002), Tony Namate (Zimbabwe 2004), Musa Kart, Turkey (2005), Ali Dilem, Algeria (2006), Jonathan Shapiro, South Afrika (2007), Baha Boukhari, Palestin (2008), Mario Robles, Mexico (2009), Mana Neyestani, Iran (2010).
0 comments:
Post a Comment