Sport Streaming

Wednesday, June 22, 2011

Pemuda Pas Mahu PDRM Lindungi Bersih 2.0

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melindungi Himpunan Bersih 2.0  9 Julai ini kerana ia melibatkan golongan wanita, warga emas dan kanak-kanak.

Exco Dewan Pemuda Pas Pusat, Firdaus Jaafar, mengharapkan kerjasama penuh dari PDRM untuk menjaga keselamatan peserta himpunan itu memandangkan ia turut disertai oleh kanak-kanak, orang tua, wanita dan orang kurang upaya (OKU).

“DPPM berharap agar pihak keselamatan akan memberikan kerjasama penuh di dalam Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini kerana  himpunan rakyat ini akan dibuat dengan secara aman.


“Mereka yang akan hadir terdiri daripada semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, orang tua, kaum wanita dan OKU.

Mereka sanggup datang dari jauh semata-mata mahu melihat demokrasi berjalan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Firdaus, Himpunan Bersih 2.0 tidak mungkin akan mencetuskan rusuhan sebagaimana yang didakwa oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Beliau turut membidas PDRM kerana tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) yang berkali-kali mengancam  perhimpunan itu.

Selain itu, Firdaus juga menuduh PERKASA dilindungi ‘tangan ghaib’ yang berselindung di belakang PDRM ekoran tidak ada sebarang tindakan terhadap ancaman pertubuhan ke atas Bersih 2.0.

Peranan pihak berkuasa dipersoal dalam menangani keselamatan rakyat negara ini.

Firdaus juga turut menyatakan bahawa PDRM wajar menjaga suasana perhimpunan itu yang hanya akan disertai oleh sekitar 500,000 orang dan akan berlangsung dari 2 petang hingga 5 petang.

Pihak berkuasa pernah mengawal Himpunan Sejuta Belia yang lebih lama tempohnya, jelasnya.

DPPM juga menggesa agar PDRM mencontohi kawalan keselamatan perarakan Thaipusam  pada Himpunan Bersih 2.0.

Firdaus juga memaklumkan bahawa DPPM turut menyediakan skuad khas bagi memastikan tidak ada sebarang provokasi atau perlakuan yang bertentangan dengan undang-undang berlaku sepanjang perhimpunan itu.

Justeru DPPM menjemput PDRM untuk duduk semeja membincangkan keselamatan dan keamanan  perhimpunan Bersih 2.0 itu nanti.

Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN

0 comments:

Post a Comment

 

Reuters

Kosmo Online

Utusan Online