Sport Streaming

Friday, June 10, 2011

Hillary Clinton Tunjuk Minat Ketuai Bank Dunia



WASHINGTON, 10 Jun — Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hillary Clinton sedang dalam perbincangan di White House mengenai idea melepaskan jawatannya itu untuk mengetuai Bank Dunia mulai tahun depan.

Bekas wanita pertama itu, yang menjadi pesaing kepada Barack Obama dalam pemilihan presiden empat tahun lalu, kemudian menjadi anggota paling berpengaruh dalam Kabinet AS sejak awal 2009.

Beliau secara terbuka pernah mengumumkan tiada rancangan untuk kekal dalam jawatan semasa lebih empat tahun.

Pembantu-pembantu mengatakan Clinton (gambar) ada melahirkan hasrat untuk mengetuai Bank Dunia sekiranya presiden semasa Robert Zoellick, melepaskan jawatan beliau pertengahan tahun depan.

“Hillary Clinton mahukan jawatan itu,” kata satu sumber yang kenal rapat isteri bekas Presiden Bill Clinton itu.

Sumber ketiga pula berkata Obama sudah menyatakan sokongan ke atas hasrat itu.

Bagaimanapun tidak pasti sama ada Obama secara formal bersetuju untuk mencalonkan beliau ke jawatan Bank Dunia, yang memerlukan sokongan 187 negara anggotanya.

Setiausaha Akhbar White House Jay Carney menafikan adanya perbincangan sedemikian.

“Ia tidak benar sama sekali,” kata beliau kepada Reuters.

Seorang jurucakap Clinton, Philippe Reines menafikan yang beliau mahukan jawatan itu, ada mengadakan perbincangan dengan White House mengenainya ataupun sedia menerima kedudukan baru di Bank Dunia.

Mereka yang mengetahui situasi itu mengesahkan semula ketepatan laporan tersebut.

Pendedahan idea atau hasrat itu berkemungkinan akan menjejaskan usaha-usaha Clinton sebagai diplomat paling tinggi jika beliau dilihat sebagai seorang yang pincang dalam jawatan semasa, khususnya ketika pentadbiran Obama berhadapan dengan cabaran dasar luar yang besar.

Lazimnya, nama-nama calon yang berpotensi tidak akan muncul setahun sebelum kedudukan semasa kosong.

Bagaimanapun waktu perbincangan itu diadakan bukan sesuatu yang luar biasa ketika dunia mula membincangkan pengganti Dominique Strauss-Kahn yang melepaskan jawatan sebagai pengarah urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) ekoran tuduhan serangan seksual di New York bulan lalu.

Jawatan ketua IMF lazimnya disandang oleh wakil dari Eropah manakala presiden Bank Dunia pula dari Amerika.

Kedua-dua badan dunia itu tidak pernah diketuai oleh seorang wanita.

The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment

 

Reuters

Kosmo Online

Utusan Online