GEORGE TOWN — Sepasang warga Perancis berbasikal mengelilingi dunia bagi memupuk kesedaran dan menggalakkan pendermaan darah sempena dengan Hari Menderma Darah Sedunia pada 14 Jun ini.
Julien Leblay, 29, dan Marion Dumas Cheilletz, 25, seorang fisioterapi, kedua-duanya dari Auvergne di Perancis, memulakan perjalanan 20 bulan dari kampung halaman mereka pada 4 Julai tahun lepas yang meliputi Eropah, Asia dan Oceania sebelum tiba di Malaysia, awal bulan ini.
Julien berkata, pada setiap perjalanan, beliau membawa bersamanya mesej mengenai menderma darah, satu tindakan yang menyelamatkan nyawanya semasa berumur 16 tahun.
Katanya, kesedaran di kalangan orang ramai amat penting dalam usaha sesebuah negara untuk mempunyai bekalan darah yang mencukupi terutama semasa kecemasan untuk menyelamatkan nyawa seseorang.
"Saya masih hidup hari ini kerana saya telah menerima 20 unit darah dalam dua hari selepas terbabit dalam nahas pada 1997 di mana kenderaan saya terjunam ke dalam gaung di Perancis,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di Bank Darah Hospital Pulau Pinang di sini, hari ini.
Bernama
0 comments:
Post a Comment