Sport Streaming

Saturday, December 10, 2011

Dua Maut Kereta Bertembung Lori

RANTAU PANJANG: “Arwah pernah berkata, sekiranya dia sudah tiada, tiadalah orang yang boleh mengambil dan menghantar adik beradik lain ke sekolah,” kata Rosneeda Che Kamaruddin, 23, selepas adiknya, Lukmanulhakim, 21, maut dalam kemalangan apabila kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori, di sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 10.20 pagi yang berlaku di Kilometer 10, Kampung Itik, Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu itu turut mengorbankan rakannya, Mohamad Aiezat Sharipudin, 21, dari Kampung Jerangau, Tanah Merah.


Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan raga ayam.

Menurut Rosneeda, dia bersama adiknya itu sepatutnya bertemu di rumah ibu saudara mereka di Rantau Panjang untuk menghadiri jamuan makan dan bertolak secara berasingan.

Katanya, adiknya yang menaiki kereta Proton Iswara sedan bersama Mohamad Aiezat dan seorang lagi rakan, Sazali Muhamad, 21, pada mulanya merancang untuk bertolak ke sana kira-kira jam 11 pagi.

“Saya bertolak dari rumah mentua bersama suami manakala adik dan dua rakannya dari rumah kami di Kampung Cherang Lali.

“Sepatutnya mereka bertolak kemudian dan kami bertemu di sana. Entah mengapa, tiba-tiba adik menghubungi kira-kira jam 9.30 pagi memberitahu mereka hampir sampai ke destinasi,” katanya.

Rosneeda berkata, dia kemudiannya terus bertolak sebelum terserempak dengan kejadian kemalangan namun sama sekali tidak menyangka mangsa itu ialah Lukmanulhakim bersama dua rakannya.

Katanya, dia meneruskan perjalanan sehingga menerima panggilan daripada keluarga memaklumkan kejadian sebelum berpatah balik melihat lokasi kemalangan.

“Saya terkejut kerana tidak sangka berselisih dengan kemalangan itu yang mengorbankan adik sendiri,” katanya. Dalam kejadian itu, Lukmanulhakim yang juga penumpang belakang dan Mohamad Aiezat, penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM).

Manakala Sazali dari Kampung Gual Petai Lima, Tanah Merah, yang juga pemandu kereta berkenaan berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Pasir Mas, Deputi Superintendan Makhetar Yaacob ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

0 comments:

Post a Comment

 

Reuters

Kosmo Online

Utusan Online