KUALA LUMPUR: Tanggal 20 September 1998 mencatatkan detik hitam dalam sejarah Malaysia apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Ia berpunca dari suara lantang Anwar menyelar korupsi, nepotisme dan kronisme- menentang projek mega dan keborosan kerajaan- di saat rakyat menderita akibat krisis kewangan.
Semasa di dalam kerajaan, Anwar mengemukakan idea dan slogan-slogan perubahan yang tidak digemari pentadbiran perdana menteri, Dr Mahathir yang diselubungi rasuah dan salahguna kuasa.
Konspirasi disusun oleh Mahathir dan barisan kabinetnya untuk menyingkirkan Anwar dengan menjadikan pertuduhan fitnah yang cukup mengaibkan sebagai senjata menjatuhkannya.
Anwar kemudian diheret ke penjara- namun seperti bait sajak Rendra- pemuisi terkenal di Indonesia- “Sebuah sangkar besi tidak bisa mengubah rajawali menjadi seekor burung nuri”.
Di luar penjara, ratusan ribu rakyat bangkit membantah Mahathir- pendokong reformasi, seniman, pemandu teksi, peniaga kecil, pekerja kilang turun ke jalan dengan teriakan reformasi- bergema sepanjang 13 tahun kemudian.
“Soalnya bukan Anwar, tetapi kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan besar dalam negara secara total selepas negara mengalami kemurungan selama 13 tahun, kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.
Menurut Johari, Umno bimbang dengan percubaan Anwar untuk melakukan perubahan termasuk menghapuskan rasuah dan salahguna kuasa yang begitu berleluasa dalam kerajaan.
“Isunya bukan batang tubuh Anwar itu, tetapi isu pokok cubaan Anwar melakukan reformasi dalam pentadbiran negara disekat oleh segolongan sang penguasa yang rapat dengan kepimpinan peringkat tertinggi kerajaan.
“Mereka ini bimbang jika Anwar menjadi Perdana Menteri, isu salah guna kuasa dan rasuah amalan mereka terbongkar,” katanya kepada Keadilandaily.com.
Johari, antara ribuan yang ditekan kerana menyokong agenda perubahan Anwar berkata, buat pertama kali dalam sejarah, seseorang yang difitnah atas tuduhan liwat ditangkap menggunakan ISA.
Kerajaan katanya, memperalat agensi kerajaan bagi memastikan Anwar dipenjarakan termasuk mengawal institusi kehakiman, polis dan media. Manakala pengasingan kuasa antara eksekutif dan kehakiman, dipersetankan.
“Kalau Timbalan Perdana Menteri pun, Anwar dizalimi sedemikian rupa, bagaimana pula dengan rakyat?
“Sebab itu, penangkapan Anwar saya sifatkan sebagai Hari Murung Negara,” katanya.
Anwar kemudian dibebaskan pada 2004, selepas pertuduhan fitnah terhadapnya digugurkan, sebelum bangkit semula ke persada politik tanah air.
Namun pada Julai 2008- selepas beberapa bulan Pakatan Rakyat yang diterajui memenangi lima negeri dari Barisan Nasional- Anwar dituduh lagi dengan fitnah jahat.
Skrip yang sama pada 1998 diputar kembali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengulangi apa yang pernah dilakukan mahathir.
Perbicaraan di mahkamah menjadi jenaka di peringkat antarabangsa dengan pelbagai kepincangan terbongkar satu demi satu.
Semuanya kerana agenda reformasi yang dibawa oleh Anwar sejak 13 tahun lalu, dengan dokongan dan doa jutaan rakyat Malaysia yang berada di belakangnya. Dan teriakan reformasi, sejak 13 tahun lalu, sebenarnya tidak pernah mati.
Reformasi!
0 comments:
Post a Comment