KUALA LUMPUR, 14 Sept — Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu kesemua parti komponen Pakatan Rakyat mematuhi arahan supaya tidak membincangkan isu pembahagian kerusi yang bakal ditandingi pada pilihan raya umum ke-13.
Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata Majlis Presiden Pakatan Rakyat telah pun membuat satu ketetapan dan mengeluarkan arahan kepada kesemua pimpinan parti masing-masing supaya hal ehwal rundingan kerusi tidak dibincang mahupun dihebah secara terbuka.
Katanya, proses rundingan kerusi antara parti sekutu Pakatan Rakyat merupakan satu proses yang berterusan yang menjadi tanggungjawab bersama pimpinan PKR, PAS dan DAP bagi mencapai satu matlamat yang khusus iaitu bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-13.
Mengulas perkembangan beberapa hari lalu, Saifuddin menegaskan, akhir-akhir ini, beberapa kenyataan-kenyataan dan pandangan-pandangan telah dikeluarkan melalui media oleh pimpinan Pakatan Rakyat Johor, termasuklah dari PKR sendiri berhubung hal rundingan kerusi pilihan raya umum ke-13 antara parti-parti sekutu Pakatan Rakyat negeri itu.
Bagaimanapun menurut beliau, kenyataan dan pandangan yang diutarakan itu telah mengundang spekulasi dan persepsi yang pelbagai.
“Tentunya dalam mana-mana proses perundingan, akan ada wujudnya keadaan yang menduga kesefahaman semua pihak yang berunding.
“Saya dengan ini menasihatkan kesemua ahli-ahli pimpinan PKR, PAS dan DAP Johor, dan juga di lain-lain negeri untuk mematuhi ketetapan dan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat serta menghormati dan menerima konsep kerjasama Pakatan Rakyat yang menekankan rasa hormat-menghormati sesama kita dalam erti kata yang sebenarnya,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Saifuddin juga berkata beliau juga mahu kesemua ahli pimpinan PKR, PAS dan DAP untuk terus memberi tumpuan terhadap keperluan dan persediaan kerja jentera pilihan raya masing-masing bagi terus menyerlahkan peluang Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan dalam pilihan raya umum ke-13.
“Bagi pihak PKR, saya ingin menyatakan keyakinan dan sokongan parti kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Johor, Datuk Chua Jui Meng dalam meneruskan rundingan bagi mencapai persetujuan hakiki dalam urusan rundingan kerusi,” katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment