EW YORK, 22 Sept — Presiden Amerika Syarikat Barack Obama memberitahu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan negara mereka sendiri tetapi ia harus diperoleh menerusi perundingan dengan Israel.
Pendirian Obama ini muncul ketika usaha-usaha diplomatik bagi Palestin mendapatkan keanggotaan penuh di PBB semakin meningkat sementara beribu-ribu orang berarak di Ramallah, Tebing Barat.
Obama mengingatkan Palestin bahawa tiada jalan singkat mendapatkan keamanan.
Seorang pegawai Palestin berkata PBB akan diberi masa untuk mengkaji permohonan mereka, lapor BBC.
Obama juga mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di sini dan dijadual bertemu dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.
Amerika Syarikat dan Israel membantah usaha Palestin, yang akan membuat permohonan rasmi esok.
Jurucakap itu berkata delegasi Palestin dengan sopan telah menolak permintaan Obama di PBB semalam agar mereka menggugurkan usaha mengemukakan permohonan esok.
“Kami akan memberi Majlis Keselamatan masa untuk mempertimbangkan permohonan kami sebelum membawa ke Perhimpunan Agung,” kata Nabil Shaath, seorang pegawai kanan dalam parti Fatah pimpinan Mahmoud Abbas di sisi Perhimpunan Agung semalam.
Laporan Reuters memetik beberapa diplomat dan pegawai PBB berkata, Majlis Keselamatan 15 anggota akan mengambil masa untuk mempertimbangkan permohonan itu, yang secara teori kemungkinan berlarutan beberapa bulan ataupun tahun.
“Sebarang kelewatan adalah sebahagian daripada prosedur,” kata Nabil sambil menambah, jika wujud kelewatan tanpa alasan munasabah, Palestin akan membawa kepada perhatian Perhimpunan Agung.
0 comments:
Post a Comment