RAMAI politikus tidak tahu apa itu cool. Mak Cik Felda pun tak tahu apa itu cool. Malah ramai juga anak muda yang tidak tahu apa itu cool. Mereka yang tidak tahu apa itu cool tidak juga tahu apa itu skema dan apa itu poyo. Inilah masalah apabila telah menjadi poyo mereka tidak lagi cool.
Berita terkini telah tersebar bahawa Najib sedang melanggan satu lagi syarikat iklan antarabangsa untuk memperlihatkan dirinya cool. Lawan cool ialah poyo. Ertinya Najib tidak mahu lagi dilihat sebagai Mamat Poyo. Sebenarnya tidak ada sesiapa ingin dilihat poyo. Mereka yang poyo biasanya hidup dengan tekanan jiwa yang amat sangat. Sayangnya ramai yang tidak sedar bahawa mereka itu adalah sosok poyo.
Untuk memahami pengisytilahan ini, saya akan cuba paparkan ciri-ciri cool dan apa itu poyo. Ini dengan harapan para pembaca sekalian akan memahami intipati cool dan poyo. Mungkin ada yang bertanya apakah cool dan poyo ini penting untuk difahami? Ini bukti utama: Sesiapa yang mengeluarkan soalan ini adalah seorang yang poyo.
Intipati cool dan poyo
Cool ini adalah gaya hidup. Cool juga adalah lenggok bahasa badan. Cool juga adalah fesyen pakaian. Cool juga ialah sikap terhadap kehidupan. Cool juga adalah cafe yang dilawati, rokok yang dihisap, muzik yang didengar. Cool juga adalah buku yang dibaca. Cool wajib berupaya mengikuti mazhab falsafah al- Farabi dan Michel Foucault. Cool juga ialah tenang dengan gesekan biola Hamzah Dol Mat dan alunan suara Saloma.
Kenapa agaknya Najib seorang Mamat Poyo bersedia mengeluarkan berjuta-juta ringgit untuk dilihat cool? Adalah difahamkan syarikat yang dilanggani oleh Najib Poyo ini juga bertanggungjawab menjenamakan Tony Blair yang poyo untuk dilihat cool.
Jawabnya: Najib Poyo ingin memenangi hati dan sanubari anak-anak muda. Najib Poyo ini sedar bahawa suara dan tindakan anak-anak muda ini akan mengubah lanskap dan rupa bentuk politik Malaysia baru. Berjuta-juta ringgit ini hanyalah secawan kopi jika dibandingkan dengan harta negara yang boleh dirembat.
Hari terakhir Najib Poyo
Mari kita lihat latar belakang langkah yang diambil oleh Mat Poyo ini. Umum mengetahui bahawa Najib Poyo ini sedang menghadapi hari-hari akhir. Kumpulan-kumpulan yang menentang Najib dalam United Malay National Organisation bukan sahaja telah berkumpul dalam gelap malah mereka telah mula bersuara secara terbuka.
Kumpulan ini merasa tidak senang dengan pimpinan Najib Poyo ini. Mereka ini terdiri dari Pencari Kontrek, Penjual Kontrek, Orang Tengah Yang Makan Komisen, Kontrek Jungkies – mereka merasakan Najib ini banyak berdolak dalik – kluk klek, kata orang Teranganu. Najib bercakap berbilion bilion tapi tak ada satu sen pun yang masuk ke saku mereka. Ada juga yang merasa diri mereka telah dipinggir. Ada pula yang merasa Najib bukan sahaja menutup karier politik mereka – lebih dari ini – Najib ingin membunuh mereka. Contoh terbaik ialah Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin.
Di belakang semua ini ialah Ibrahim Ali..opss maaf. Di belakang gerakan anti Najib ini ialah Mahathir Muhamad. Pasti pembaca akan bertanya – saheh ke maklumat ini? Orang yang bertanya ini adalah contoh terbaik orang yang poyo politik. Si Poyo Politik ini tidak memahami jalur dan pemikiran politik terkini. Mereka selalu meraban tak tentu hala dalam pemahaman politik.
Biar saya terangkan di sini: Mahathir melihat bahawa Najib ini tidak memiliki keterampilan pimpinan. Mengikut pandangan Mahathir ini amat bahaya. Bahaya ini akan membawa keruntuhan United Malay National Organisation – gerombolan politik yang ditubuhkan oleh Mahathir sendiri pada tahun 1988 dahulu. Keruntuhan United Malay National Organsiation ini akan membawa malapetaka yang besar terhadap para kroni dan kaum pemodal yang telah ditelurkan oleh Mahathir.
Buktinya: telah lebih dari tiga kali Mahathir secara terbuka menerangkan kepada umum bahawa ada kekeliruan terhadap dasar 1Malaysia yang dianjurkan oleh Najib Poyo. Kenyataan Mahathir ini kalau kita halusi, jelas satu kenyatan kurang ajar. Ini samalah seperti Najib menolak konsep Wawasan 2020 atau memperlekeh secara terbuka Islam Hadhari.
Yang kita dengar kenyataan Mahathir secara terbuka. Dari Haji Desas bin Lebai Desus kita juga ada mendengar bagaimana dalam perjumpaan tertutup Mahathir telah ‘menibai’ Najib seolah-olah Najib ini panddy kutty.
Jadi, Najib pada ketika ini bukan sahaja nyawa-nyawa ikan, malah sedang dikepung oleh ahli-ahli parti United Malay National Organisation sendiri. Perangkap-perangkap sedang dipasang untuk menjerut leher Najib. Bila-bila masa perangkap ini akan bingkas menjerut Najib.
Raih sokongan pengundi muda
Tok Kipas dan Tok Bodek yang mengelilingi Najib menyedari kebencian orang ramai terhadap si Poyo ini. Najib Poyo melihat anak-anak muda akan dapat menyelamatkan dirinya. Najib Poyo telah diberitahu bahawa ramai pengundi baru – anak-anak muda – kelihatan berkiblat kepada Pakatan Rakyat. Anak-anak muda melihat Pakatan Rakyat sebagai pentabiran yang boleh diyakini. Justeru Najib Poyo memerlukan jenama yang baru. Najib yang poyo mahu dilihat cool oleh pengundi muda.
Maka Najib Poyo atas nasihat Zionis Apco secara berahsia dari Kabinetnya telah merancang untuk mengeluarkan kenyataan bahawa Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) akan dimansuhkan. Sila baca sekali lagi. Akan dimansuhkan. Kunci perkataan di sini ialah AKAN. ISA hanya AKAN dimansuhkan jika Najib dapat terus berkuasa.
Kenapa ISA tidak undang-undang lain? Ini kerana menentang ISA adalah trend anak-anak muda yang cool hari ini. Anak-anak muda yang mula mendampingi aktiviti NGO atau politik tidak dapat tidak akan menentang ISA. Menentang ISA adalah langkah yang paling cool.
Muka cool atau penipu?
Najib Poyo mahu anak-anak muda melihat dirinya demokratik. Najib ke pesta futsal. Najib ke konsert rock. Najib ke stesen radio. Niat untuk dilihat cool ini bukan satu kesalahan jenayah tetapi untuk Najib diterima sebagai warga cool adalah mustahil.
Lihat sahaja muka Najib. Apakah muka ini cool atau muka penipu? Dalam budaya cool, gerak dan bahasa badan cukup penting. Najib tidak memiliki gerak badan yang cool. Ini kerana Najib seperti ramai politikus – berperut gendut. Perut gendut ini dihodohkan lagi dengan kepala yang botak.
Najib yang botak adalah imej yang paling tidak cool. Botak bukan anti-cool kerana ahli falsafah yang terunggul di Paris, Michel Foucault juga botak. Micheal Foucault dilihat cool dengan botaknya. Ini kerana Foucault seorang pemikir, maka rambutnya gugur walhal Najib kaki kelentong dan tidak pernah mengeluarkan idea dan pandangan. Jauh sekali menulis sebuah buku. Cool bukan anti yang botak. Yul Brynner juga botak tapi dilihat cool sebagai pemimpin kaum Gipsi. Najib botak kerana dia poyo.
Najib Poyo bekerja keras untuk dilihat cool. Mamat Poyo ini ada facebook, ada tweeter, ada laman – sayangnya Mamat Poyo ini masih lagi dilihat poyo dan skema. Di sini Zionis Apco dan syarikat iklan yang dilanggan Najib kantoi. Meraka boleh berusaha tetapi mereka akan gagal. Kenapa gagal?
Di Malaysia seperti di Paris, London dan Carlifornia pada tahun 60’an dahulu – untuk dilihat cool wajib berambut panjang. Tidak cukup hanya dengan berambut panjang dan menghisap ganja tetapi wajib ke jalan raya menentang Perang Vietnam. Lihat kota Paris tahun 1968 – ini adalah era yang diangap cool hingga ke hari ini - bukan sahaja di Paris malah di seluruh Eropah. Anak muda dilihat cool jika mereka menentang kerajaan. Anak muda akan dilihat cool jika mereka berdemo di jalan raya.
Najib Poyo sepanjang hidupnya tidak pernah turun ke jalan raya berdemo. Najib Poyo sepanjang hidupnya tidak pernah bertempur dengan FRU. Fakta ini pasti tidak disedari oleh Zionis Apco dan syarikat iklan antarabangsa ini. Mereka berjaya melahirkan imej cool pada Tony Blair kerana Blair memiliki asas untuk dilihat cool - ketika di universiti, Tony Blair berambut panjang, menghisap ganja dan turun berdemo.
Lihat pula Presiden Sarkozy di Peranchis. Sarkozy ini sebenarnya seorang yang poyo tetapi Nicolas Sarkozy ini bijak. Dia merancang masa depan politiknya. Nicolas Sarkozy menceraikan isteri pertamanya untuk memerangkap Carla Bruni – seorang pelakon, penyanyi, model yang berhaluan kiri.
Najib yang poyo juga merancang masa depan politiknya. Najib menceraikan isteri pertamanya dari keluarga bangsawan yang cun, langsing, untuk berkahwin dengan Mak Janda yang gemuk, pendek dan gedebab. Kalau ini bukan Mamat Poyo, maka matahari tidak akan terbit dari sebelah Timur.
Hishamuddin Rais
Hishamuddin Rais
0 comments:
Post a Comment