Pemimpin, delegasi Zionis guna media lobi anggota PBB tolak permohonan jadi ahli
BAITULMAQDIS: Ketika diplomat antarabangsa memutuskan untuk menentang atau menyokong permohonan Palestin menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Israel melancarkan kempen menerusi media untuk menyatakan pandangannya dalam isu berkenaan supaya difahami.
“Saya bercakap dengan berpuluh-puluh wartawan setiap hari, tidak kira mesej e-mel Facebook dan temubual radio serta televisyen,” kata jurucakap Kementerian Luar Israel, Yigal Palmor.
Dalam video di laman web YouTube awal minggu ini, Palmor berkata: “Israel tidak menentang penubuhan negara merdeka Palestin. Israel mahu wujud bersama secara aman bersebelahan tetapi keamanan cuma dapat dicapai menerusi rundingan langsung, tiada cara lain,” katanya.
Pusingan terakhir rundingan gagal September 2010 apabila Israel enggan menunda lagi pembinaan penempatan Yahudi di kawasan yang dianggap penduduk Palestin sebagai sebahagian negara mereka.
Pemimpin Palestin pula menegaskan, rundingan damai tidak akan disambung kecuali pembinaan penempatan dibekukan.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, akan mengemukakan permintaan mendapatkan keanggotaan penuh negaranya kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, manakala Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggunakan skil retorik menentang bidaan itu di Perhimpunan Agung (UNGA).
Israel menentang keras kempen diplomatik, mengatakan Palestin cuma boleh wujud menerusi perbincangan dua hala dan tidak boleh didesak badan luar.
Mengiringi Netanyahu ke New York kelmarin sekumpulan jurucakap sehaluan dengannya, pakar media, menteri dan timbalan menteri. – AFP
0 comments:
Post a Comment