KUALA LUMPUR, 13 Jun — “Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan saya.” Itulah keluhan pemain pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaludin yang memohon maaf kepada penyokong The Red Warriors kerana gagal membantu Kelantan membawa pulang Piala FA kali ini.
Gol yang ditanduk masuk ke dalam gawang sendiri pada minit terakhir permainan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam kelmarin jelas menyentap semangat sepasukan yang terpaksa bertarung dalam 30 minit masa tambahan sebelum kecundang kepada Terengganu 2-1 bagi edisi ke-22 kali ini.
“Selepas perlawanan tamat saya tidak dapat melelapkan mata kena memikirkan kesilapan yang terjadi di atas padang sehingga membawa kepada kekalahan pasukan,” katanya dipetik Berita Harian Online hari ini.
”Saya sedih memikirkan penyokong kami yang sanggup datang jauh mengharapkan kemenangan.
“Saya sudah mencuba yang terbaik untuk memastikan malam itu menjadi milik Kelantan,” katanya.
Dipetik Utusan Malaysia, Daudsu berkata, dia mahu menanduk bola keluar, namun nasib tidak menyebelahinya kerana bola akhirnya menggegar gol sendiri.
“Saya tak ada niat (menjaringkan gol sendiri), ia berlaku dengan cepat. Masa itu saya berlari laju kerana mahu menerkam bola untuk mengelak bola daripada menggegar jaring. Saya tidak ada pilihan kecuali cuba menanduk bola tersebut keluar tetapi ia masuk ke gawang.
“Sebagai pemain, ia sesuatu yang tidak pernah anda fikir untuk terjadi dan tidak mahu ia berlaku tetapi inilah bola sepak. Saya minta maaf kepada penyokong jika mereka menganggap saya punca kekalahan,” katanya.
Tambahnya, selepas Terengganu menyamakan kedudukan, moral pemain Kelantan mulai jatuh dan terpaksa melalui masa tambahan yang cukup memeritkan.
“Saya tak nafikan ada kata-kata yang kurang enak sampai ke telinga saya, tetapi saya sudah lali.
“Sebagai pemain, kami sedia menerima hakikat, popular seorang pemain kerana peminat dan jatuh juga kerana peminat,” katanya.
Jelasnya, rezeki mungkin belum berpihak Kelantan untuk menjulang Piala FA biarpun sudah dua kali beraksi di pentas final.
Sementara itu, tugas berat menanti jurulatih pasukan Kelantan, Datuk M Karathu, apabila moral anak buahnya dikatakan berada pada tahap terendah, musim ini.
“Saya hanya mempunyai dua hari untuk memulihkan moral pemain,” kata Karathu yang kini masih mempunyai misi penting mempertahankan kedudukan teratas Liga Super yang hanya berbaki dua perlawanan.
“Saya akan gunakan tempoh dua hari ini memulihkan keyakinan pemain dalam usaha memburu kejuaraan Liga Super.
“Saya tidak mahu kekecewaan ini menyebabkan kami hilang semuanya. Cerita kekalahan ini harus dilupakan segera dan memberi tumpuan kepada saingan seterusnya,” kata beliau.
The Malaysian Insider
0 comments:
Post a Comment