MANILA - Pejabat Presiden Filipina, Benigno Aquino mengumumkan semalam bahawa pihaknya menamakan semula Laut China Selatan kepada Laut Filipina Barat ketika ketegangan dengan Beijing semakin memuncak berhubung tuntutan bertindih beberapa negara melibatkan kawasan berkenaan
Filipina, China, Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam masing-masing membuat tuntutan keatas beberapa kawasan di Laut China Selatan terutamanya Kepulauan Spratly yang kaya dengan sumber minyak dan gas.
Jurucakap Presiden Aquino, Edwin Lacierda berkata, jabatan pertahanan dan hal ehwal luar baru-baru ini mula menggunakan nama Laut Filipina Barat bagi menggantikan Laut China Selatan dengan diikuti oleh pejabat presiden.
"Kami mengambil petunjuk daripada mereka dan merujuk Laut China Selatan sebagai Laut Filipina Barat," kata Lacierda.
Menurutnya, negara-negara lain juga melakukan amalan serupa.
"Semua negara lain menamakan Laut China Selatan berdasarkan persepsi mereka. Vietnam menggelarkannya Laut Timur justeru, adalah perkara biasa untuk kami memanggilnya Laut Filipina Barat," tambahnya.
Sejak beberapa minggu lalu, Filipina mendakwa tentera China mendalangi tujuh insiden konfrontasi dengan negara itu di sekitar Kepulauan Spratly.
Duta China, Liu Jianchao berkata, insiden tersebut hanya khabar angin tetapi menegaskan bahawa Kepulauan Spratly adalah wilayah China.
Ketika ketegangan semakin memuncak, Taiwan kelmarin mengumumkan bahawa ia akan menghantar bot-bot peluru berpandu dan pasukan kereta kebal ke Laut China Selatan.
AFP
0 comments:
Post a Comment